UCAPAN MENTERI SEKITARAN & SUMBER AIR DAN MENTERI BERTANGGUNGJAWAB BAGI EHWAL MASYARAKAT ISLAM DR YAACOB IBRAHIM DALAM MAJLIS KONVOKESYEN KOLEJ ISLAM MUHAMMADIYAH (KIM) DI AUDITORIUM PERPUSTAKAAN SERANTAU TAMPINES AHAD, 26 OKTOBER 2008 @ 10.00 PAGI Naib Presiden I, Persatuan Muhammadiyah Singapura, Ustaz Rasman Saridin Rektor Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Imam Bonjol, Indonesia, Encik Sirajuddin Dzar Para graduan dan hadirin yang saya hormati sekelian Saya bersyukur dan berbesar hati kerana diundang untuk menghadiri majlis konvokesyen Kolej Islam Muhammadiyah (KIM) pada pagi ini. Acara ini merupakan satu detik bersejarah kepada KIM kerana ia adalah majlis konvokesyen yang pertama baginya. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Persatuan Muhammadiyah Singapura atas kejayaan membuka satu lagi lembaran baru dalam sejarahnya, dan juga kumpulan pertama graduan KIM atas kejayaan menamatkan kursus masing-masing. 2 Masyarakat Melayu/Islam setempat akur tentang peranan penting yang dimainkan oleh ilmu pengetahuan dan pendidikan dalam kehidupan dan kesejahteraan mereka. Ini sealiran dengan ajaran agama Islam sendiri yang mengajar para penganutnya supaya menimba ilmu tidak kira ke mana sahaja pendakian itu akan membawa mereka. Sehubungan dengan ini, badan-badan Melayu/Islam setempat seperti Persatuan Muhammadiyah Singapura, Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) and Persatuan Pelajar-Pelajar Agama Dewasa Singapura (Perdaus) menawarkan pelbagai kursus peringkat pos-menengah dan sarjana muda kepada masyarakat Islam setempat. 3 Usaha badan-badan ini patut dipuji kerana ia tidak sahaja membuka pintu kepada orang-orang dewasa yang sudah bekerja untuk terus menimba ilmu peringkat tinggi secara sambilan. Peluang ini juga membolehkan mereka mengimbangi keperluan untuk mencari rezeki demi memenuhi keperluan keluarga di samping meneruskan cita-cita untuk menimba ilmu pengetahuan. Kursus-kursus seperti ini secara umum juga membantu mempertingkat taraf pendidikan masyarakat Melayu/Islam setempat. Pembaharuan dalam Pendidikan Islam 4 Para hadirin sekelian, pengetahuan dan pendidikan Islam berkembang atas usaha para ulama dan cendiakawan masa silam. Mereka faham bahawa sekitaran dan faktor yang mempengaruhi kehidupan manusia adalah tidak statik, malah sentiasa berubah dan berkembang mengikut peredaran masa. Para ulama dan cendiakawan ketika itu juga melihat ilmu agama sebagai teras pembangunan masyarakat secara menyeluruh, dan bukan untuk keperluan akhirat semata-mata. 5 Sumbangan mereka merentasi bangsa, agama dan budaya. Mereka berfikiran terbuka dan melengkapkan diri dengan kemahiran yang sesuai dengan tuntutan masyarakat dan zaman. Justeru itu, para cendiakawan barat mendapati hasil kajian para saintis Islam masa silam bernas dan berguna, dan terus menjadikannya sebagai asas untuk membangunkan ilmu pengetahuan moden yang kita kenali kini. 6 Para graduan agama hari ini patut mencontohi pendekatan dan usaha para ulama dan cendiakawan Islam masa silam. Hari ini, dunia dilanda pula oleh arus kemodenan dan globalisasi. Dunia dikatakan menjadi semakin kecil dek interaksi yang semakin meningkat di kalangan manusia. Tren ini menuntut pembaharuan ke atas pendidikan Islam dan cara kita meneliti isu-isu sejagat dari kaca mata Islam. Masyarakat Melayu/Islam perlu menyahut seruan ini agar ilmu dan nilai-nilai keagamaan yang kita bekalkan buat anak-anak kita terus relevan dan berupaya menangani pelbagai cabaran kehidupan hari ini dan juga hari muka. Ini boleh kita lakukan tanpa menjejas akidah. 7 Usaha-usaha pembaharuan yang dilakukan pula harus mampu membantu para pelajar menangani atau menyelesaikan masalah atau cabaran kehidupan masakini yang dihadapi oleh masyarakat setempat, seperti hubungan masyarakat Islam dengan para penganut agama lain dalam konteks dunia hari ini. Kandungan ilmu agama juga harus mampu menghayati isu-isu semasa dan cabaran mendatang yang menghambat masyarakat Islam dan juga umat manusia seperti cabaran perubahan iklim, kesan globalisasi kepada masyarakat dan etika sains hayat. 8 Di sini, saya juga ingin menyeru KIM dan badan-badan lain untuk memastikan agar para graduan yang mereka lahirkan mampu mendokong Identiti Muslim Singapura. Para graduan serupa ini mampu berpegang teguh kepada prinsip Islam dan pada masa yang sama progresif dari segi kehidupan sosialnya. Mereka juga mengamalkan ilmu yang dipelajari dengan konteks semasa -- dengan kata singkat, beliau seorang alim teks dan juga alim konteks. Penutup 9 Saya yakin inisiatif KIM dan badan-badan Melayu/Islam yang menawarkan pelbagai kursus pos- menengah secara sambilan dialu-alukan oleh orang-orang dewasa yang sudah bekerja. Ini termasuklah para karyawan yang mahu menimba ilmu untuk memperbaiki peluang kerjaya, terutama sekali mereka dalam sektor perbankan atau perkhidmatan. Kursus-kursus KIM juga boleh dimanfaatkan oleh para pelajar yang tidak dapat melanjutkan pelajaran di tempat lain atas sebab-sebab tertentu. 10 Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru badan-badan Melayu/Islam yang menawarkan pelbagai kursus Islam pos-menengah supaya menubuhkan satu rangkaian untuk bertemu dan bertukar-tukar fikiran. Rangkaian serupa ini membolehkan mereka berkongsi pelbagai amalan terbaik dalam usaha memperbaiki sistem pendidikan dan kurikulum masing-masing, dan mungkin juga satu hari kelak, kemungkinan berkongi sumber-sumber yang terhad. Mereka juga boleh bekerjasama dengan institusi-institusi pengajian tinggi setempat untuk memperbaiki mutu kursus masing-masing. 11 Sebagai mengakhiri ucapan, izinkan saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan KIM . Saya harap KIM dapat menghasilkan para lulusan berkualiti yang mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara.
|